Bila Kau Kata Cinta


Siti Sara, si pramugari jelita menyangka, panggilan sweetheart yang diterimanya daripada Idzham merupakan petanda bahawa jejaka itu ada hati padanya. Namun, saat Iftitah diperkenalkan sebagai bakal isteri Idzham, Siti Sara bingung. Luluh hatinya tika melihat cinta pertamanya menjadi milik insan lain.

Lantaran itu, pabila pinangan yang tidak disangka datang menerpa, dia hanya pasrah dan menerima; dengan harapan nama Idzham dapat dilupuskan dari ingatan.

Akhirnya tanpa dia sedar, dia sudah menerima lamaran seorang duda merangkap penumpang yang pernah memalukan dirinya di kabin!

Bagi Khalif Imran pula… Pinangan itu bukanlah ikhlas daripada jiwanya, malah tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menduakan cinta arwah Zulaikha. Pinangan itu sekadar syarat untuk menebus kesalahan yang pernah dilakukan terhadap mama dan papanya. Dia nekad, tiada cinta terhebat selain cintanya bersama Zulaikha.

Hinggalah akhirnya dia mula merasa getar yang aneh tika bersama Siti Sara. Cuma, apa yang melukakan hati Siti Sara adalah apabila kata-kata cinta yang diucapkan kepadanya disulami dengan nama wanita lain.

Hati isteri mana yang tidak terhiris? Dapatkah Khalif Imran fahami kehendak hatinya sendiri? Siapa kini dalam hatinya? Bunga cinta lama yang pernah mekar atau kuntum cinta baru yang tidak kurang indahnya?

Tiada ulasan: