GARAM


Seorang pemain piano di Surabaya ditemui mati, terduduk di depan pianonya, dengan bibir terjahit. Biji matanya dicungkil, meninggalkan lubang hitam yang amat mengerikan. Rambut palsu merah panjang menutupi kepalanya. Sementara otak dan organ-organ tubuhnya telah dikeluarkan secara paksa.

Kulitnya pucat seputih garam. Tidak, tidak sekadar seputih garam. Tapi, seluruh tubuhnya itu benar-benar dilumuri adunan garam.

Inspektor Kiri Lamari, penyiasat kes ini, terus dihantui lubang hitam mata pemain piano. Mata yang mengingatkan Kiri Lamari akan mata ibunya. Yang juga dia temui tak bernyawa puluhan tahun lalu.

Garam? Kenapa garam?



VIDEOTAPE


Razak seorang remaja yang dibesarkan dalam keluarga yang toksik. Disebabkan itu, dia lebih banyak lari daripada masalah di rumah dengan mencari masalah di luar.

Sepanjang hidupnya, dia mengenali beberapa kawan yang dianggap sebagai darah dagingnya sendiri. Mereka mencari kegembiraan bersama dan mencari masalah bersama.

Suatu hari, ketika didenda untuk bersihkan sekolah, mereka terjumpa sebuah kaset video yang tersorok di bilik stor. Tanpa mereka sangka, isi kandungan videotape itu bakal mengubah nasib hidup mereka. Bersama-sama, mereka menyelongkar misteri ngeri di sebalik objek berteknologi kuno itu.

Menerusi proses ini, Razak pelajari erti persahabatan, percintaan, kehidupan -- dan kematian.







PONTENG


Sekumpulan pelajar nakal di sebuah asrama berhasrat untuk ponteng sekolah untuk menonton konsert The National. Dengan liciknya Razaq, Azman, GM dan Haji berjaya mengumpulkan wang yang diperlukan untuk ke sana. Namun suatu petang ketika Haji masuk ke dalam bilik untuk memberitahu Razaq bahawa wang mereka telah dicuri, segalanya berubah dalam sekelip mata.

Rancangan asal untuk ke konsert kemudian bertukar menjadi sesuatu yang jauh lebih besar. Mereka berempat langsung tidak menyangka perjalanan mereka akan turut membabitkan pihak lain – termasuk pengawas, guru, Pejabat Pendidikan dan polis – lalu turut membongkar rahsia-rahsia gelap sekolah itu yang sudah lama terpendam.




JANJI


Seorang gadis kaya bernama Chika yang baru sedar daripada koma mendakwa dirinya adalah seorang pelakon yang meningkat naik bernama Azira Khidir. Persoalannya, gadis bernama Azira Khidir telah mati dipercayai dibunuh di apartmentnya. Polis masih menyiasat kes pembunuhannya.

Ibubapa Azira kemudian terpana bila mendapati perwatakan dan kelakuan Chika memang mirip benar dengan mendiang anak mereka.

Apakah sebenarnya yang berlaku pada Chika?

Adakah hal ini dapat dikaitkan secara saintifik atau ada sesuatu yang terselindung di sebalik sebuah pembohongan? Wujudkah sebuah reinkarnasi atau kelahiran semula? Dan apakah kaitannya dengan sebuah JANJI?



MENTAL


Bagi Maya, menjadi orang gaji di dalam rumah teres dua tingkat itu ibarat menyelia sebuah institusi mental. Tuan Jin menduakan isterinya, Puan Sierra mengharungi tekanan perasaan, Rashid bencikan anggota badannya sendiri, dan Rania seolah-olah cuba menjadi murtad!

Mereka semua gila. Mereka semua punya cerita.

Tetapi kehidupan Maya berubah apabila dia dikejutkan dengan nama Raudhah. Dia jadi bingung dan terganggu. Siapakah wanita itu? Apakah kaitan wanita itu dengan dirinya? Dan mengapa nama itu seakan-akan mempunyai satu cerita yang sukar untuk dia ungkaikan?

MENTAL mengisahkan tentang pencarian. Mencari sesuatu yang jelas di depan mata, mencari sesuatu yang bakal diberitahu, dan mencari sesuatu yang cuba dihindar.



HERO - NOVEL ADAPTASI DRAMA BERSIRI BOMBA



Kematian arwah Zaki memberi tamparan hebat bukan sahaja kepada Khalid, malah kepada seluruh pasukannya. Keseronokan menjalankan tugas dalam pasukan seolah-olah direntap apabila melihat Zaki tumpas di hadapan mata. Umpama mimpi ngeri yang menakutkan, Khalid seolah-olah trauma dengan kejadian tersebut.

Pemergian sahabat baiknya ini telah mengubah perwatakan Khalid. Daripada seorang lelaki yang periang dan suka mengusik, karektornya berubah menjadi serius dan terlalu berhati-hati dalam setiap tindakan. Dia tidak mahu peristiwa yang sama berulang. Tanpa sedar, dia seumpama menjadi pengawal kepada orang- orang di sekelilingnya.

Kehadiran Wana untuk menggantikan tempat arwah Zaki juga kurang disenangi pada awalnya. Khalid berasakan Wana tidak layak untuk bergandingan dengannya kerana sifat semulajadi Wana yang agak feminin. Sebenarnya, dia kurang selesa berpasangan tugas dengan wanita. Tunangan Khalid, Mastura, banyak bersabar dan sentiasa memberikan sokongan meskipun lelaki itu lebih fokus terhadap kerjayanya.

Kemarahan Khalid semakin memuncak apabila mengetahui kematian Zaki adalah berpunca daripada khianat dan api dendam. Antara amanah dengan pembelaan terhadap kematian arwah Zaki, mampukah Khalid mengawal dirinya tatkala berhadapan dengan situasi tersebut?