Ahad, 30 Julai 2017

Bila Kau Kata Cinta


Siti Sara, si pramugari jelita menyangka, panggilan sweetheart yang diterimanya daripada Idzham merupakan petanda bahawa jejaka itu ada hati padanya. Namun, saat Iftitah diperkenalkan sebagai bakal isteri Idzham, Siti Sara bingung. Luluh hatinya tika melihat cinta pertamanya menjadi milik insan lain.

Lantaran itu, pabila pinangan yang tidak disangka datang menerpa, dia hanya pasrah dan menerima; dengan harapan nama Idzham dapat dilupuskan dari ingatan.

Akhirnya tanpa dia sedar, dia sudah menerima lamaran seorang duda merangkap penumpang yang pernah memalukan dirinya di kabin!

Bagi Khalif Imran pula… Pinangan itu bukanlah ikhlas daripada jiwanya, malah tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menduakan cinta arwah Zulaikha. Pinangan itu sekadar syarat untuk menebus kesalahan yang pernah dilakukan terhadap mama dan papanya. Dia nekad, tiada cinta terhebat selain cintanya bersama Zulaikha.

Hinggalah akhirnya dia mula merasa getar yang aneh tika bersama Siti Sara. Cuma, apa yang melukakan hati Siti Sara adalah apabila kata-kata cinta yang diucapkan kepadanya disulami dengan nama wanita lain.

Hati isteri mana yang tidak terhiris? Dapatkah Khalif Imran fahami kehendak hatinya sendiri? Siapa kini dalam hatinya? Bunga cinta lama yang pernah mekar atau kuntum cinta baru yang tidak kurang indahnya?

Selasa, 25 Julai 2017

Mencari Si Pelengkap Hati








CINTA. Mampukah cinta itu dipaksa? Jawapannya TIDAK bagi Nuha Huda. Kerana merasakan cinta itu harus dipupuk secara ikhlas dan jujur, Nuha menolak cinta suci yang dihulurkan oleh Cikgu Ihsan kepadanya tanpa berfikir panjang.

Memasang impian dalam diam, Ihsan Zuhri sangat berharap Nuha Huda akan terbuka hati untuk menerima cintanya. Namun Nuha tetap dengan pendirian. Walau dia terhutang budi dengan Cikgu Ihsannya, hati Nuha tidak mampu diikhlaskan untuk mengorbankan dirinya dengan mengahwini Ihsan Zuhri!

Episod bahagia Nuha bersama keluarga angkat kesayangannya berakhir di situ. Perginya Nuha tiada istilah untuk kembali.

Lima tahun membawa diri, menjadikan Nuha Huda seorang wanita yang lebih matang. Matang untuk menguruskan perasaannya. Dia khilaf mengenangkan betapa kejamnya dia saat tidak mampu belajar untuk menerima cinta suci Ihsan Zuhri. Lagi pula, apalah yang budak sekolah tahu tentang erti hati dan perasaan, bukan?

Pada saat Tuhan menjentik hatinya untuk mengenal erti cinta, ujian hadir untuk menguji sejauh mana dia ikhlas melepaskan perasaan itu andai orang yang dicintainya itu tidak mampu mencintainya.

Andai benar setiap orang akan menemui si pelengkap hatinya sendiri, mampukah perkara yang sama berlaku dalam hidup Nuha Huda? Akan ternoktahkah pencariannya untuk mencari si pelengkap hatinya?