ILUSANITI



Ini kisah sekumpulan kawan
Lama sudah kenal secara online.
Untuk kali pertama mereka bertemu
Seorang mati bunuh diri selepas itu
Ataupun ada konspirasi yang mereka tidak tahu.
Nisan siapa bakal diukir lagi?
Ingatan semakin hilang setiap hari
Tidur dipenuhi dengan mimpi ngeri
Ini semua ilusi ataupun realiti?





SUNYI


Herwin seorang yang banyak mulut dan dia tidak ingat masa lalunya. Memorinya hanya bergulir dalam waktu kini. Dia rasa itu biasa, sehinggalah dia sering didatangi mimpi dengan pelbagai gambaran dan suasana aneh.

Dan mimpi-mimpi itu adalah petanda bahawa dunia bakal kiamat. 

Dia bertemu dengan Aloysius, Lady Bazooka, dan Dona dalam waktu tegang, di mana penduduk bumi sudah menjadi tidak bertamadun. Undang-undang dan nilai matawang sudah terhapus setelah kecoh berita mengenai asteroid yang bakal menghentam. 

Jadi, Herwin ingin mencari keluarganya sebelum kiamat tiba, dan mereka memulakan advencer bersama. Dunia dibekalkan selama 45 hari sebelum ia berakhir menjadi sunyi sepenuhnya.




GARAM


Seorang pemain piano di Surabaya ditemui mati, terduduk di depan pianonya, dengan bibir terjahit. Biji matanya dicungkil, meninggalkan lubang hitam yang amat mengerikan. Rambut palsu merah panjang menutupi kepalanya. Sementara otak dan organ-organ tubuhnya telah dikeluarkan secara paksa.

Kulitnya pucat seputih garam. Tidak, tidak sekadar seputih garam. Tapi, seluruh tubuhnya itu benar-benar dilumuri adunan garam.

Inspektor Kiri Lamari, penyiasat kes ini, terus dihantui lubang hitam mata pemain piano. Mata yang mengingatkan Kiri Lamari akan mata ibunya. Yang juga dia temui tak bernyawa puluhan tahun lalu.

Garam? Kenapa garam?



VIDEOTAPE


Razak seorang remaja yang dibesarkan dalam keluarga yang toksik. Disebabkan itu, dia lebih banyak lari daripada masalah di rumah dengan mencari masalah di luar.

Sepanjang hidupnya, dia mengenali beberapa kawan yang dianggap sebagai darah dagingnya sendiri. Mereka mencari kegembiraan bersama dan mencari masalah bersama.

Suatu hari, ketika didenda untuk bersihkan sekolah, mereka terjumpa sebuah kaset video yang tersorok di bilik stor. Tanpa mereka sangka, isi kandungan videotape itu bakal mengubah nasib hidup mereka. Bersama-sama, mereka menyelongkar misteri ngeri di sebalik objek berteknologi kuno itu.

Menerusi proses ini, Razak pelajari erti persahabatan, percintaan, kehidupan -- dan kematian.







PONTENG


Sekumpulan pelajar nakal di sebuah asrama berhasrat untuk ponteng sekolah untuk menonton konsert The National. Dengan liciknya Razaq, Azman, GM dan Haji berjaya mengumpulkan wang yang diperlukan untuk ke sana. Namun suatu petang ketika Haji masuk ke dalam bilik untuk memberitahu Razaq bahawa wang mereka telah dicuri, segalanya berubah dalam sekelip mata.

Rancangan asal untuk ke konsert kemudian bertukar menjadi sesuatu yang jauh lebih besar. Mereka berempat langsung tidak menyangka perjalanan mereka akan turut membabitkan pihak lain – termasuk pengawas, guru, Pejabat Pendidikan dan polis – lalu turut membongkar rahsia-rahsia gelap sekolah itu yang sudah lama terpendam.




JANJI


Seorang gadis kaya bernama Chika yang baru sedar daripada koma mendakwa dirinya adalah seorang pelakon yang meningkat naik bernama Azira Khidir. Persoalannya, gadis bernama Azira Khidir telah mati dipercayai dibunuh di apartmentnya. Polis masih menyiasat kes pembunuhannya.

Ibubapa Azira kemudian terpana bila mendapati perwatakan dan kelakuan Chika memang mirip benar dengan mendiang anak mereka.

Apakah sebenarnya yang berlaku pada Chika?

Adakah hal ini dapat dikaitkan secara saintifik atau ada sesuatu yang terselindung di sebalik sebuah pembohongan? Wujudkah sebuah reinkarnasi atau kelahiran semula? Dan apakah kaitannya dengan sebuah JANJI?



MENTAL


Bagi Maya, menjadi orang gaji di dalam rumah teres dua tingkat itu ibarat menyelia sebuah institusi mental. Tuan Jin menduakan isterinya, Puan Sierra mengharungi tekanan perasaan, Rashid bencikan anggota badannya sendiri, dan Rania seolah-olah cuba menjadi murtad!

Mereka semua gila. Mereka semua punya cerita.

Tetapi kehidupan Maya berubah apabila dia dikejutkan dengan nama Raudhah. Dia jadi bingung dan terganggu. Siapakah wanita itu? Apakah kaitan wanita itu dengan dirinya? Dan mengapa nama itu seakan-akan mempunyai satu cerita yang sukar untuk dia ungkaikan?

MENTAL mengisahkan tentang pencarian. Mencari sesuatu yang jelas di depan mata, mencari sesuatu yang bakal diberitahu, dan mencari sesuatu yang cuba dihindar.



HERO - NOVEL ADAPTASI DRAMA BERSIRI BOMBA



Kematian arwah Zaki memberi tamparan hebat bukan sahaja kepada Khalid, malah kepada seluruh pasukannya. Keseronokan menjalankan tugas dalam pasukan seolah-olah direntap apabila melihat Zaki tumpas di hadapan mata. Umpama mimpi ngeri yang menakutkan, Khalid seolah-olah trauma dengan kejadian tersebut.

Pemergian sahabat baiknya ini telah mengubah perwatakan Khalid. Daripada seorang lelaki yang periang dan suka mengusik, karektornya berubah menjadi serius dan terlalu berhati-hati dalam setiap tindakan. Dia tidak mahu peristiwa yang sama berulang. Tanpa sedar, dia seumpama menjadi pengawal kepada orang- orang di sekelilingnya.

Kehadiran Wana untuk menggantikan tempat arwah Zaki juga kurang disenangi pada awalnya. Khalid berasakan Wana tidak layak untuk bergandingan dengannya kerana sifat semulajadi Wana yang agak feminin. Sebenarnya, dia kurang selesa berpasangan tugas dengan wanita. Tunangan Khalid, Mastura, banyak bersabar dan sentiasa memberikan sokongan meskipun lelaki itu lebih fokus terhadap kerjayanya.

Kemarahan Khalid semakin memuncak apabila mengetahui kematian Zaki adalah berpunca daripada khianat dan api dendam. Antara amanah dengan pembelaan terhadap kematian arwah Zaki, mampukah Khalid mengawal dirinya tatkala berhadapan dengan situasi tersebut?






Tak Payah Sombong Pun Tak Apa



Entah apa agaknya yang diajar di gedung universiti sehingga ramai berasa bagus dan perlu menjadi sombong.

Tidak perlu sombong untuk menjadi lebih bagus daripada orang lain. Bahkan apabila kebaikan ditawarkan, si pemberi itu tidak akan kerugian apa-apa pun.

"Bodoh!" Satu perkatan yang masih kau ingat yang diluahkannya semasa dia menengking menerusi telefon. Siapa yang bodoh, kau pun tidak tahu.

Tak Payah Sombong Pun Tak Apa merupakan salah satu cerita pendek dalam buku ini.




Aku Anak Punk



Aku Anak Punk berkisar perjalanan hidup vokalis kumpulan Hardcore Punk terkenal, Second Combat, Ein atau nama sebenarnya Khairuddin Aziz yang bermula daripada seorang remaja berjiwa rontak berubah menjadi 'manusia' hasil didikan genre muzik yang diminatinya. 

Atas rasa tanggungjawab memastikan generasi hari ini tidak terus hanyut dengan arus dunia, Ein telah mengabdikan diri menjadi aktivis sosial yang memberi bantuan kepada golongan tidak bernasib baik. Kisah suka duka dan halangan yang ditempuhi dibukukan sebagai inspirasi kepada pembaca agar dapat memilih haluan hidup yang betul dan lebih bermakna.





Badi Buddy


Danial Putra, seorang vokalis merangkap gitaris sebuah band Indie di Jepun. Hidup sebagai mahasiswa di sana mempertemukan dia dengan Ayumi Takashi, lantas cinta berputik. Mereka diibaratkan seperti John Lennon dengan Yoko Ono oleh kawan-kawan. Hidup penuh dengan cinta.

Namun, bahagia yang didamba berakhir dengan sebuah tragedi ngeri. Ayumi pergi buat selama-lamanya dan pintu hati Danial Putra terus tertutup rapat untuk bercinta lagi. Dia ada badi, pembawa nasib malang… Itu fikirnya. Sehinggalah pertemuan semula Danial Putra dengan Dhea Azlina, wanita yang telah lama menyimpan cinta terhadapnya.

Dan dengan tiba-tiba hati Danial Putra bergetar untuk Dhea Azlina tetapi cintanya kepada Ayumi Takashi terlalu besar dan tiada ganti. Danial Putra pencinta setia. Dia tak mungkin curang, nekadnya. Tapi, apakah mungkin dia dapat meneruskan hidup tanpa cinta?

Danial Putra keliru. Dia buntu… Mungkinkah dia mampu untuk bercinta lagi? Dan Dhea Azlina… Sanggupkah menunggu cinta Danial Putra yang sekian lama dinantikannya? Kalau Danial Putra menerimanya, apakah mungkin badi itu akan hilang?




Cinta Kau Di Mana


Suraya, seorang gadis kampung cuba untuk majukan diri setelah mendapat restu ibunya, Mak Senah. Namun, keputusannya itu ditentang hebat oleh Zahid iaitu kekasih hatinya sehingga akhirnya perkataan ‘perpisahan’ diungkap oleh Zahid.

Di Gemilang Takluk, dia bertemu dengan Ikhsan… CEO Gemilang Takluk yang ‘hati batu mata kayu’ serta seorang yang gila dengan kerja. Segala kata-kata yang diungkap oleh lelaki itu tidak dipedulikan oleh Suraya demi untuk mencari sesuap nasi, walaupun ada masanya membuatkan dia rasa geram.

Apabila putusnya pertunangan di antara Aliff dan Zulaika… telah membuatkan Suraya berada dalam dilema apabila Aliff menyunting dirinya. Namun, demi permintaan Aliff dia akur dengan takdir dan berkahwin dengan Aliff sehingga dia ditinggalkan saat dia sudah berbadan dua. Sekali lagi dia berada dalam dilema apabila Zulaika cuba meminangnya untuk suaminya Zahid, yang juga pernah menjadi kekasih hati Suraya.

Selama manakah Suraya harus menderita dalam mengharungi hari-harinya?

Siapkah yang boleh membahagiakannya sekali lagi?




Aku Bukan Spy



Sebuah pesawat yang membawa seramai 239 orang penumpang hilang begitu saja dan menjadi tanda tanya seluruh dunia. Empat orang berjaya ditawan di dalam kapal terbang itu tetapi mereka tidak menemui Dato' Mohd Sharif, orang kelima yang sepatutnya juga berada di dalam kapal terbang itu. 

"Apa yang buat kau ke sini? 1481 kilometer untuk sampai ke sini. Mesti ada sesuatu yang penting untuk kau kan?"

"Aku rasa alasan kita sama saja."

"Untuk ini?" Ditunjukkan telefon di tangannya itu.

"Di dalam itu." 

Semua kebenaran itu diketahui Yasmin selepas dia mengetahui identiti sebenar Putra. Lelaki yang dicintainya itu.